Thursday, March 18, 2010

Keadaan kesihatan Orang Asli menyedihkan

dari malaysiakini.com
SM Mohamed Idris Mac 18, 10 5:47pm
Orang Asli merupakan komuniti paling terpinggir di negara ini terus mengalami kehilangan tanah mereka melalui penempatan semula, pembalakan, perlombongan, pembinaan empangan, pembangunan padang golf, skim peladangan, pengumpulan semula dan asimilasi ke dalam masyarakat arus perdana. Hak Orang Asli ke atas tanah warisan tidak diiktiraf oleh negeri; oleh itu mereka semakin kehilangan tanah dan mengalami kemusnahan asas kewujudan mereka. Dasar kerajaan ialah mengumpul dan menempatkannya semula mereka untuk menanam tanaman kontan dan makanan.

Tekanan terhadap tanah dan kekurangan bantuan daripada kerajaan negeri serta sokongan telah membawa kepada meningkatkan kesukaran hidup mereka. Hari ini kira-kira 80 peratus daripada Orang Asli hidup di bawah garis kemiskinan rasmi. Lihatlah petunjuk kesihatan berikut: * Pada 1980-an jangka hayat ketika lahir dalam kalangan Orang Asli Semai ialah 35 tahun. (Untuk Malaysia Barat 68-72 tahun). * Orang Asli mempunyai insiden tuberculosis dua kali daripada purata kebangsaan antara 1951 hingga 1971. Menjelang 1995 kadar bagi kanak-kanak Orang Asli ialah tiga kali purata di negeri Perak. * Pada 1991 dan 1992, Orang Asli merupakan purata 48% daripada semua jangkitan malaria yang direkodkan di Malaysia Barat (kurang 1% daripada penduduk). Dalam beberapa tahun yang lalu mereka mempunyai purata lebih 70% daripada kes itu. * Kematian bagi Orang Asli ialah 1% setahun bagi tempoh 1984-87, dua kali lebih tinggi daripada purata Malaysia Barat (0.5%) * Kadar kematian bayi ialah 5.2%, lebih daripada tiga kali ganda purata Malaysia Barat (1.6%). * Dalam kalangan wanita Malaysia yang bersalin di rumah pada 1994, 42 meninggal; 60% daripadanya (25) merupakan Orang Asli. * Kajian 1995 menunjukkan wanita Orang Asli merupakan kumpulan orang dewasa yang paling kekurangan zat di Malaysia Barat, dengan 35% daripada mereka mengalami kekurangan protein dan tenaga. * Anemia meluas dalam kalangan wanita Orang Asli. Dalam satu kajian, wanita Orang Asli Temuan mempunyai purata paras haemoglobin 9.9 g/dl (gm/100ml) jauh lebih rendah daripada paras yang diterima iaitu 12-15 g/dl. * Kajian lepas mendapati 23% hingga 68% daripada kanak-kanak Orang Asli mengalami kekurangan berat badan, manakala 41% hingga 80% terencat dalam pertumbuhan mereka. * Ujian serological juga mendedahkan bahawa 82% daripada Orang Asli menunjukkan pendedahan terhadap penyakit yang berkait dengan virus dan denggi. * Pada 1994, penyakit kusta adalah 23 kali ganda menjadi wabak dalam kalangan Orang Asli berbanding penduduk umum. * Pada 1990, hanya 67 daripada 774 kampung Orang Asli (9%) mempunyai klinik perubatan. Di sebalik penemuan yang mengejutkan ini, komuniti Orang Asli gagal untuk menerima perhatian yang mereka perlukan. Hari ini, Orang Asli menjadi komuniti yang paling tidak sihat di Malaysia, satu gambaran status peminggiran mereka dalam masyarakat. Kekurangan zat makanan merupakan masalah serius dalam kalangan orang Asli, dan wanita Orang Asli merupakan kumpulan orang dewasa yang paling kekurangan zat makanan di Malaysia Barat. Ini adalah diakibatkan oleh kehilangan tanah pertanian dan tempat mencari makan, meningkatnya pencemaran sungai, diet yang tidak mencukupi; paras dan kekerapan mengalami jangkitan penyakit, jangkitan usus dan diskriminasi. Wanita Orang Asli mempunyai paras kekurangan folate dan zat besi yang tinggi, dibebani dengan masalah cacing dan malaria. Keadaan ini diburukkan lagi oleh kemerosotan khasiat pemakanan dalam kalangan kumpulan yang paling terjejas iaitu wanita yang mempunyai anak kecil dan kanak-kanak. Orang Asli selalu mencari makan dengan pelbagai sumber makanan malah apabila mereka menjadi 'petani' dan mereka menikmati kualiti makanan yang tinggi dengan pelbagai jenis yang menarik jika jarang-jarang dalam kuantiti yang banyak. Memandangkan sumber makanan ini semakin merosot mereka dipaksa untuk membeli makanan moden seperti gula, tepung, susu pekat manis, makanan dalam tin, dan minyak masak yang semuanya mengakibatkan pemakanan yang tidak sihat, tidak seimbang dan sukar untuk diperolehi. Kajian mendedahkan anemia merupakan penyebab ketara penyakit dalam kalangan wanita Orang Asli; dan ibu-ibu mengandung serta goiter (keadaan bengkak pada kelenjar tiroid) dalam kalangan kanak-kanak tidak melihat sebarang perubahan antara 1951 dan 1995. Kesihatan ibu-ibu mengandung merupakan perkara utama dalam kelangsungan hidup ibu-ibu mengandung dan bayi dan kesihatan yang amat penting kepada komuniti Orang Asli. Status pemakanan kanak-kanak Orang Asli dijelaskan sebagai buruk oleh pelbagai kajian. Pada 1987, didapati 54 peratus mengalami kekurangan berat badan dan 66 peratus terencat. Kajian lain mengesahkan bahawa kekurangan zat makanan yang meluas wujud dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli; dan kekerapan terencat adalah daripada 44 peratus dalam kalangan bayi hingga 80 peratus dalam kalangan kanak-kanak berusia dua hingga enam tahun. Penyelidik telah merumuskan bahawa “status pemakanan kanak-kanak Orang Asli amat sangat berbahaya”. Disebabkan oleh kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak yang amat serius ditambah dengan cacing usus dan masalah lain, kanak-kanak Orang Asli berdepan kecacatan yang teruk terhadap perkembangan fizikal, intelektual dan sosial mereka. Perangkaan kesihatan yang menyedihkan ini mendedahkan bahawa keadaan kesihatan yang menyedihkan serta kekurangan zat makanan bagi ibu-ibu mengandung dan kanak-kanak Orang Asli dalam kalangan komuniti Orang Asli perlu ditangani dengan segera. Malah Hospital Orang Asli di Gombak hanya melihat sedikit perubahan. Struktur bangunan kayu 'sementara' di Hospital Gombak yang dibina pada 1959 oleh pekerja Orang Asli masih menempatkan pesakit. Kakitangan hospital masih kekurangan kepakaran dalam pelbagai disiplin perubatan. Pendidikan kesihatan yang sempurna tidak ditangani oleh birokrasi perubatan pada masa ini untuk Orang Asli. Menurut Ketua Hospital Gombak, kesihatan Orang Asli tidak mendapat layanan yang baik oleh 'sikap kakitangan' di kemudahan perubatan itu. Di bawah undang-undang, semua aspek kehidupan mereka 'diuruskan' oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA). Pendek kata mereka dinafikan hak dengan mempunyai sedikit ruang untuk menyuarakan hal ehwal dan kehidupan mereka sendiri. Komuniti Orang Asli mestilah terlibat dalam memutuskan keutamaan dan keperluan mereka memandangkan hanya mereka yang mengetahui masalah mereka dengan baik. Berhubung perkara ini, mobilisasi sokongan yang aktif dan penglibatan komuniti adalah menjadi asas kepada penambahbaikan kesihatan mereka.

Penulis adalah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

Orang Asli berarak untuk KEADILAN hak mereka

http://www.malaysiakini.tv/video/18742/cops-halt-orang-asli-advance-on-putrajaya.html Saya amat kagum dengan keberanian dan kebijaksaan Orang Asli pada masa sekarang. Dahulu kala kita diperlekeh dan diperkotak-katik, diam dan takut untuk bersuara. TAHNIAH kepada seluruh Orang Asli dan terutama sekali kepada Tijah yang amat konsisten didalam penyerahan memo ini. Tidak lupa juga kepada POASM yang turut serta sebagai penganjur bersama. Kita menuntut hak dan tanah disamping memberitahu kepada kerajaan apa yang Orang Asli mahu. Dimana ia memudahkan kerja KERA JAAN untuk membantu Orang Asli. Maka duit kerajaan dan duit rakyat tidak perlu digunakan untuk membuat kajian bagaimana untuk mempertingkatkan ekonomi dan kebajikan Orang Asli. Saya sedih juga, nak jumpa PM pun bukan main susah. Terpaksa serah memo kepada orang lain untuk diserahkan kepada PM. Mungkin lain kali Orang Asli perlu beritahu nak jumpa pasal nak mohon biasiswa untuk melanjutkan belajar. Menteri yang tidak menghormati Orang Asli yang mengatakan kami datang untuk melawat Putrajaya sempena cuti sekolah. Kenapa kamu tak serius? Ini bukan main-main. Ini tuntutan rakyat Malaysia yang bergelar ORANG ASLI.

Sunday, March 7, 2010

Isu tanah: Orang Asli terus 'ditipu'

Salhan K Ahmad, Malaysiakini.com Mac 7, 10 9:13pm
Penerangan dari pihak kerajaan berkaitan pindaan ke atas Akta Orang Asli setakat ini masih belum memadai, malah tidak menjelaskan isu sebenar, kata seorang pembentang kertas kerja dalam satu konvensyen semalam.
Wakil masyarakat ini juga melihat penerangan dari pihak kerajaan dalam cadangan pindaan akta berkenaan tidak lebih daripada cubaan untuk membendung sentimen di kalangan Orang Asli yang nampaknya tidak sabar lagi untuk menduduki tanah milik mereka sendiri. Aturcara program sehari itu memperuntukkan satu sesi pembentangan kepada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) untuk menerangkan cadangan pindaan Akta 134 yang dirancang untuk dibentangkan di parlimen selewat-lewatnya pada Jun ini.

Disogok data lama

Namun, JHEOA tidak menggunakan peluang tersebut untuk menerangkan dasar berkenaan tetapi masih mengemukakan data-data lama, kata Suki Mee ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Dasar pemberimilikan tanah Orang Asli -- Satu tinjauan'. "Kalau mereka bersungguh-sungguh hendak beri penerangan, mereka akan bentangkan cadangan pindaan akta itu kepada kita di sini, barulah boleh mendapat maklum balas yang jelas daripada Orang Asli," kata anggota Persatuan Siswazah Orang Asli Semenanjung Malaysia (PSOA) itu. Katanya lagi, pengumuman peruntukan sebanyak RM150 juta yang dibuat oleh menteri berkaitan hal ehwal Orang Asli, Datuk Seri Shafie Apdal semalam juga bukanlah satu cara yang konkrit untuk merungkai permasalahan sedia ada. "Kami datang ke konvensyen ini untuk bercakap soal tanah, bagaimana RM150 juta ini dapat menyelesaikan masalah tanah ini?," katanya lagi ketika ditemui Malaysiakini pada sidang berkenaan.
Dalam sesi pembentangan kertas kerjanya sebelum itu, Suki berkata situasi yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli kini semakin meruncing kerana lebih 60% daripada tanah mereka masih belum mendapat sebarang pengiktirafan daripada kerajaan. "Agensi-agensi seperti Risda tidak akan dapat memberi bantuan sekiranya tanah yang diusahakan (Orang Asli) belum diwartakan dan diluluskan oleh kerajaan negeri," katanya lagi.

Tanah dirampas Seorang lagi pembentang kertas kerja, Prof Madya Dr Bahari Belaton berkata keadaan inilah yang memangsakan masyarakat Orang Asli kerana kerajaan negeri berkuasa merampas tanah Orang Asli sewenang-wenangnya kerana tiadak bukti pemilikan tanah berkenaan.

"Kalau betul mereka sedang berusaha untuk memberi milik tanah kepada Orang Asli, kenapa tidak ada kerja-kerja mengukur tanah-tanah ini diadakan?" katanya dalam sesi pembentangan. Dalam kertas kerjanya itu, Bahari mengupas 19 seksyen utama dalam akta berkenaan yang perlu ditambahbaik dari segi perlindungan dan kesejahteraan warga berkenaan. "Kupasan ini dibuat berdasarkan kepada beberapa maklumat awal berkenaan kerangka pindaan ini, sama ada secara bertulis atau menerusi penglibatan beberapa ahli PSOA dalam bengkel dan program berkaitan akta 134," kata Bahari dalam kertas kerja tersebut. Tambahnya, pindaan yang dicadangkan itu perlu mengambil tujuan untuk mengutamakan kepentingan Orang Asli dan memperkukuh hak keistimewaan masyarakat itu. Jelasnya, ini perlu dilakukan dengan memperhalusi klausa-klausa sedia ada dengan istilah perundangan yang memberi lebih perlindungan kepada kepentingan golongan itu bagi mengelakkan mereka ditindas.

Usir orang tak diingini

Beliau memberi contoh peruntukan dalam Seksyen 14 dan 15 yang memberi kuasa kepada ketua pengarah JHEOA dan polis untuk mengusir dan menghalang orang-orang yang tidak diingini dan berniat jahat daripada memasuki kawasan Orang Asli.

"Perkataan 'tidak bermoral' atau 'berniat jahat' perlukan penjelasan yang sewajarnya supaya perkara ini tidak boleh disalahgunakan oleh pihak berkuasa. "Perkataan 'tidak diingini' juga perlu diperjelaskan supaya isu ini tidak disalahgunakan oleh pihak yang berkepentingan," katanya dalam pembentangan tersebut. Jelasnya, peruntukan sedia ada menyebut, pihak berkuasa berkenaan 'boleh' berbuat demikian, tetapi ini perlu digantikan dengan istilah yang lebih proaktif seperti 'perlu' atau 'wajib.' "Maksud
nya, apabila ia dikuatkuasakan, orang politik yang hendak masuk untuk berkempen contohnya tidak boleh dibenarkan masuk ke kawasan Orang Asli. Orang yang tidak digemari ini boleh diusir setelah mendapat persetujuan dua pertiga daripada masyarakat Orang Asli," katanya. Satu lagi cadangan yang dikemukakan adalah untuk merombak pentadbiran JHEOA supaya dapat mengambil peranan lebih pro-aktif, manakala satu badan lain perlu ditubuhkan bagi memantau perjalanan dalam jabatan berkenaan. Bahari berkata, penubuhan itu perlu memandangkan JHEOA dikatakan akan distruktur semula menjadi sebuah agensi perbadanan. "Setakat ini, menteri (pembangunan luar bandar dan wilayah) mempunyai kuasa mutlak ke atas JHEOA," katanya lagi yang juga mahu JHEOA diterajui oleh masyarakat Orang Asli sendiri secara majoriti, khususnya bagi jawatan tertinggi dalam jabatan tersebut," katanya.

Konvesyen disanjung

Datuk Seri Shafie Apdal pada ucapannya semasa merasmikan penganjuran konvensyen itu semalam bagaimanapun menyanjung tinggi usaha menjayakan sidang berkenaan. Katanya, usaha untuk memberi pendedahan kepada golongan berkenaan mengenai dasar tanah dan perundangan itu adalah satu usaha yang lebih baik berbanding daripada membuat "rusuhan ataupun demonstrasi."
Katanya, usaha melalui perhimpunan seperti itu tidak memberi faedah kepada masyarakat Orang Asli. Ucapan ini jelas ditujukan kepada pihak yang bertanggungjawab menganjurkan satu demonstrasi di hadapan pejabat Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) di Gombak bulan lalu. Bercakap kepada kira-kira 500 orang wakil masyarakat Orang Asli dari seluruh negara, beliau juga berkata resolusi yang dicapai melalui konvensyen berkenaan akan disusuli dengan tindakan mengikut kehendak Orang Asli Katanya lagi, resolusi berkenaan juga akan diteliti oleh satu kumpulan tumpuan yang turut dianggotai wakil masyarakat Orang Asli. Salah seorang yang akan menganggotai kumpulan berkenaan ialah Rashid Ka', presiden Persatuan Siswazah Orang Asli Semenanjung Malaysia (PSOA) yang juga penganjur kepada sidang berkenaan

Thursday, February 25, 2010

Isu tanah: 30 Orang Asli berdemo di Gombak

http://www.malaysiakini.tv/video/18619/isu-tanah-30-orang-asli-berdemo-di-gombak.html

Wednesday, February 24, 2010

Isu tanah: 30 Orang Asli berdemo di Gombak

Salhan K Ahmad Feb 24, 10 1:29pm
Sekumpulan 30 Orang Asli menyertai perhimpunan di depan hospital Orang Asli Gombak tengahari ini kerana membantah apa yang mereka dakwa salah guna kuasa oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) yang melibatkan pendaftaran tanah mereka.
Dalam satu petisyen yang berkaitan daftar tanah masyarakat Orang Asli, mereka mendakwa telah mendapat maklumat bahawa tanah saka dan tanah rayau mereka tidak akan diberi milik kepada mereka selepas ini. Mereka turut membawa poster yang antaranya berbunyi "Kembalikan hak kami" dan 'Jangan rampas hak kami". Perhimpunan itu diketuai Sokyen Man, 40, yang mendakwa mewakili penduduk kampung tersebut. Mereka kemudiannya mengutip tandatangan penduduk kawasan penempatan Orang Asli di situ bagi menyokong petisyen tersebut. Petisyen itu, katanya, akan diserahkan kepada menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Orang Asli. Dalam petisyen tersebut juga, mereka mendakwa berlaku penganiayaan terhadap kakitangan Orang Asli yang berkhidmat dengan jabatan tersebut.
Sokyen berkata, mereka membuat petisyen itu berdasarkan enam laporan polis yang dibuat sebelum ini oleh penduduk kampung terlibat. Menurutnya, dua laporan polis yang dibuat itu melibatkan kematian dua pesakit yang menerima rawatan di hospital Orang Asli di Gombak. Selain itu, katanya, dua laporan lagi ialah mengenai dakwaan berlakunya ugutan terhadap pesakit yang membuat laporan polis mengenai kematian tersebut. Sumber: malaysiakini.com

Thursday, February 11, 2010

Dasar Tanah Orang Asli Oleh UMNO

Kenapa saya menolak 1000% dasar ini: Sila renung YouTube ini................ 1. Dasar pemilikan tanah yang diungkap acap kali, yang pasti cakap sahaja. 2. Dasar yang menguntungkan UMNO, JHEOA, RISDA, FELCRA dll 3. Penghapusan dan rompakan tanah OA secara terancang dan sah dari undang2 UMNO. 4. Penafian hak terhadap tanah OA yang diduduki sejak zaman berzaman. 5. Penindasan terhadap golongan yang miskin dan amat terpinggir di Malaysia. 6. Dasar tanah yang tidak telus dan tidak dirancang untuk jangka pendek dan panjang. 7. Ia tidak langsung dapat membantu dan meningkatkan ekonomi, pendidikan, kesihatan dan politik Orang Asli. 8. Orang Asli akan lebih daif dan papa kedana dikampung halaman dan negara sendiri. 9. Ada dasar yang lebih baik untuk memajukan Orang Asli. 10. Ia tidak mengambil kira sensiviti Orang Asli 11. dasar yang terang-terang berat sebelah. 12. Perbincangan yang tidak melibtkan Orang Asli. 13. Tidak menghormati Orang Asli sebagai warganegara Malaysia. 14. Secara jujur saya mengatakan UMNO tidak ikhlas untuk membantu masyarakat Orang Asli. 15. Dasar yang pernah disyorkan oleh Orang Asli sendiri tidak pernah dilayan mahupun dibalas. APA YANG ORANG ASLI PERLU BUAT? 1. Lakukan hak anda didalam pilihanraya yang akan datang. 2. kepada sesiapa yang berumur 21 tahun sila daftar sebagai pengundi. 3. Kita kena cerdik, jangan mudah terpedaya hanya RM50, 100 dan sebagainya. Duit UMNO bagi ambil. Tapi anda perlu cerdik!!!!!!!! 4. UMNO ingat OA bodoh, tapi anda CERDIK.................

Wednesday, February 10, 2010

Ahli Persatuan Siswazah Orang Asli Semenanjung Malaysia

Persatuan ini amat mengalu-alukan kepada anda yang pernah belajar dari IPTA mahupun IPTS untuk menjadi ahli PSOA. Sumbangan anda amat bermakna untuk Orang Asli walaupun anda hanya menjadi ahli sahaja. Untuk maklumat lanjut sila hubungi ; orgaslimy@yahoo.com Pertanyaan anda akan dilayan setiap hari.